Saturday, August 15, 2009

APA ITU AUTISME?

Autisme adalah gangguan perkembangan otak yang dicirikan masalah hubungan sosial, komunikasi, emosi, kurang kebolehan imaginasi dan bermain serta menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang; biasanya berkaitan minat, aktiviti dan perangai. Gangguan ini dipercayai berkaitan dengan ketidaknormalan pada beberapa bahagian otak. Malah, saiz otak kanak-kanak autistik juga tidak sama seperti kanak-kanak normal kerana ada yang lebih besar. Ia disebabkan oleh ketidaksempurnaan yang berlaku di dalam genetik individu dan boleh diwarisi di dalam keluarga. Menurut kajian yang dijalankan, dalam setiap 10,000 bayi yang lahir, empat daripada mereka berkemungkinan menghidap kecelaruan autistik. Menurut Persatuan Psikiatrik Amerika (APA) pada tahun 2000, kadar autisme adalah 2 hingga 20 orang dalam setiap 10,000 manusia. Masalah autisme boleh dikesan ketika bayi lagi. Bagaimanapun, biasanya ia hanya disedari kebanyakan ibu bapa apabila anak mencapai usia tiga tahun. Autisme berlaku tiga hingga empat kali lebih kerap pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Tahap serius autisme berbeza antara individu kerana sesetengah kanak-kanak boleh membesar dan hidup berdikari, manakala segelintir lagi sentiasa memerlukan bantuan sepanjang hayat. Sehingga kini, belum ada cara untuk menyembuhkannya. Namun, autisme boleh dirawat dan rawatan awal mampu memberi kehidupan lebih baik kepada kanak-kanak ini. Masih ramai ibu bapa yang mempunyai anak autisme menyalahkan diri sendiri kerana dianugerahkan anak sebegini. Ia bukan salah sesiapa kerana tiada siapa tahu bagaimana atau kenapa autisme boleh berlaku.

CIRI-CIRI UMUM KANAK-KANAK AUTISTIK

ciri-ciri umum

ciri-ciri umum

  1. Ketidakupayaan dalam komunikasi. Kanak-kanak autistik menghadapi masalah untuk berkomunikasi, menjalin hubungan sosial dan berfikir secara kreatif.
  2. Pada peringkat bayi, anak autistik tidak peduli sama ada dipeluk atau tidak oleh ibu bapanya. Mereka hidup di dalam dunia mereka sendiri.
  3. Pada peringkat awal kanak-kanak, mereka akan mengasingkan diri serta menunjukkan reaksi yang agresif ketika dipegang, disentuh dan dipeluk. Mereka tidak suka senyum dan bertentang mata ketika berkomunikasi.
  4. Jika sakit, luka atau duka, anak autistik tidak akan meluahkan masalah untuk mengurangkan ketidakselesaan. Ini bererti jarang adanya ekspresi perasaan muka dalam pertuturan.
  5. Mereka suka berseorangan, tidak suka menjalinkan hubungan dengan orang lain dan hidup dalam dunianya sendiri.
  6. Mereka mempunyai suatu corak komunikasi yang digelar ‘echolalia’, iaitu suka mengulangi percakapan orang lain.
  7. Sanggup menggunakan masa yang panjang untuk mengulangi sesuatu perbuatan seperti memusingkan badan dalam bulatan, melambai tangan di depan mata sendiri atau menggigit kuku.

PUNCA-PUNCA AUTISME

Autisme merupakan suatu kecelaruan yang masih memerlukan banyak penerokaan. Autisme bukan berpunca daripada suatu faktor sahaja tetapi kombinasi faktor biologikal dan psikososial untuk melahirkan tingkah laku yang luar biasa.

  • GENETIK
    • Kajian anak kembar, ‘Twin Studies’ yang dijalankan oleh para saintis menunjukkan 90% daripada kes autistik yang dilaporkan berpunca daripada faktor genetik. Kajian ini menunjukkan bahawa anak autistik daripada kembar monozigotik memperlihatkan peratusan autisme yang tinggi, iaitu 70 peratus manakala peratusan autisme untuk anak kembar dizygotic adalah – 0 (Folstein & Rosen, 2001).Keputusan kajian menunjukkan bahawa kecelaruan autistik boleh diwarisi. Penyelidik genetik mencadangkan bahawa gen yang terlibat dalam kecelaruan autistik mungkin terletak pada kromosom 2,7,15 dan x. Bukti sedemikian turut diperoleh oleh Wassink et al (2001) yang mengatakan bahawa gen WNT2 terletak pada kromosom 7 yang mana gen inilah yang memainkan peranan utama dalam menyebabkan kecelaruan autistik.
    • Kerosakan yang terdapat didalam kromosom anak-anak autistik, antaranya adalah:
      • Gene deletion
      • Gene duplication
      • Gene inversion
  • TERATOGEN
    • Teratogen adalah agen atau bahan yang akan menyebabkan kecacatan bayi di dalam kandungan ibunya.Teratogen memberi kesan buruk terhadap kandungan pada 8 minggu pertama kehamilan.

Diantaranya ialah :

·

    • Thalidomide
    • Asid Valproik
    • Misoprostol
    • Jangkitan Rubella pada ibu
  • LAIN-LAIN
    • Beberapa faktor telah dikaitkan dengan kecelaruan autistik termasuk German measles, hyperarrhythmia, cytomegalovirus dan kesukaran bersalin.

MASALAH UTAMA KANAK-KANAK AUTISTIK

TIDAK MAMPU BERSOSIAL

TIDAK BOLEH BERTUTUR & BERKOMUNIKASI

BERMASALAH DALAM PEMIKIRAN & PERLAKUAN

  • Tidak menghiraukan orang lain.
  • Kelihatan tidak sensitif pada keperluan, perasaan dan pemikiran orang lain.
  • Tidak mahu bertentang mata atau menunjukkan ekspresi muka apabila bercakap.
  • Tidak suka sentuhan (tidak mahu dipeluk atau dipegang).
  • Susah bekerjasama, berkongsi atau menunggu giliran.
  • Lebih suka bermain sendiri.
  • Tidak berminat dalam permainan yang perlu menggunakan imaginasi.
  • Lambat bercakap.
  • Mempunyai masalah bercakap dan memahami percakapan orang.
  • Tidak boleh berkomunikasi dengan baik.
  • Bercakap dalam nada pelik — seperti menyanyi atau bercakap macam robot.
  • Sukar memulakan percakapan.
  • Mungkin mengulang perkataan sama, tetapi tidak faham maksudnya.
  • Kanak-kanak autistik dengan sindrom Asperger menggunakan bahasa rasmi dan pertuturan mereka kedengaran seperti orang dewasa.
  • Suka melakukan perkara sama (berulang) dan tidak mahu menerima perubahan. Mereka mudah terganggu jika disuruh melakukan perubahan.
  • Menunjukkan minat pelik, contohnya terhadap peta, peralatan elektronik atau roda kereta mainan berpusing.
  • Sangat sensitif terhadap rasa, bau dan bunyi. Contohnya mereka berasa terganggu apabila mendengar bunyi mesin pengisar dan menunjukkan perlakuan di luar kawalan.
  • Menunjukkan pergerakan badan yang pelik dan melakukannya berulang-ulang.
  • Sentiasa bergerak.

DIAGNOSIS

  • Skala peringkat pembesaran (komunikasi, kemahiran sosial dan motor), kemampuan mental dan tingkah laku.Skala ini memberi petunjuk tentang berapa jauh perbezaan anak itu daripada kanak-kanak lain. Selalunya, ujian klinikal ini dijalankan oleh Pakar Psikologi Pembangunan dan Klinikal.

BAWA BAYI ANDA BERJUMPA DOKTOR JIKA:

autistic baby

autistic baby

  1. Bayi tidak bercakap bahasa bayi seperti ‘ba ba atau ku ku’ ketika berumur 12 bulan.
  2. Tidak membuat pergerakan bermakna seperti menunjuk ke satu arah pada umur 12 bulan.
  3. Tidak boleh bercakap satu patah perkataan pun ketika berumur 16 bulan.
  4. Tidak boleh bercakap ayat yang mengandungi dua patah perkataan apabila berumur dua tahun.
  5. Hilang kemahiran bahasa atau sosial pada sebarang umur.

PANDUAN MENANGANI KANAK-KANAK AUTISTIK

autistic child

  1. Bercakap mengikut tahap pemikirannya.
  2. Meningkatkan kefahaman anak terhadap kehidupan dan peranan mereka dalam dunia ini dengan memuji anak apabila mereka berkelakuan baik.
  3. Mengalihkan perhatian anak apabila mereka membuat perangai dengan melakukan aktiviti digemari atau melengahkan memberi apa yang diminta.
  4. Mengajar anak melalui mimik muka supaya anak boleh belajar mengenali ekspresi wajah.
  5. Pastikan anak anda sentiasa berasa selesa.
  6. Elakkan kaedah konfrontasi (pertentangan dan perselisihan) yang boleh merangsang perlakuan tidak diingini.
  7. Pastikan anak tahu sesetengah tindak balas yang boleh diterima apabila berdepan satu-satu keadaan.
  8. Ajar anak cara berkomunikasi yang boleh diterima dan mereka tahu komunikasi berkenaan difahami orang lain.
  9. Ajar anak untuk mengenal satu-satu keadaan supaya mereka tahu apa perlu dilakukan mengikut masa, tempat, cara dan apa bakal terjadi selepas itu.

No comments:

Post a Comment